Thursday, 25 June 2020

10 Bahasa DOSA Dalam Berbicara ketika Membesarkan Anak

Assalamualaikum sahabat semua. Ika doakan semoga perkongsian Ika kali ni memberi manfaat untuk kita bersama terutama bagi Ibu bapa yang masih ada anak kecil macam ika atau ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata.

Sebagai Mak Anak Empat macam ika, ika akui kadang juga pandai terbawa emosi terherdik anak-anak. Tapi lepas reda marah ika panggil anak. Ika peluk, ika minta maaf dekat diorang.

"Mama minta maaf ya nak. Mama marah tadi. Mama sayang abang/Kak Leesya/ Anieq"

Kadang ibu bapa ada ego sendiri kan. Tapi kita usahakan buanglah EGO dengan anak-anak. Diorang masih kecil. Perasaan bukan macam orang dewasa.

Ibu bapa SALAH bila anggap kononnya anak dah besar tapi belum pandai berfikir sedangkan Anak-anak masih inginkan perhatian dan kasih sayang.

Dalam membesarkan anak-anak perlukan kesabaran yang tinggi. Sebab bagaimana acuan begitulah hasilnya. Bak kata pepatah orang putih, "Monkey See, Monkey Do"

Bukan nak kata anak-anak kita seperti kera. Tapi mereka buat apa yang ibu bapa buat. Sebab pendidikan pertama bermula dari rumah.

Sebab tu ika tertarik nak kongsikan dekat sini, daripada majalah Pa & Ma. 

Perkongsian ini daripada Puan Noraliza Alwi iaitu dalam bab membesarkan anak, ada "10 BAHASA DOSA DALAM BERBICARA", menurut Dr. azlina Roszy Mohamad Ghaffar, Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Annur.



**Sharing ini mungkin tak sama 100% dengan yang asal, sebab ika taip semula. Dan ika gunakan bahasa yang mudah difahami sebab perkongsian ini sedikit sebanyak terkena dalam kehidupan ika sendiri sebagai seorang ibu**


10 BAHASA Penyebab Anak Degil dan Bermasalah Yang Perlu Dielakkan ketika Bercakap Dengan Anak.


1. BAHASA MELAKNAT.

Contohnya,
Menyumpah, memaki hamun atau menggunakan perkataan yang buruk.

Anak yang kerap ditengking dan dimaki cenderung samaada menjadi seorang yang keras jiwanya dan 'rebellious' ataupun menjadi seorang yang kurang keyakinan diri.

Atau mungkin ibu bapa tak tujukan kepada anak-anak. Mungkin Bila kita tengok sesuatu di handphone ataupun bermain 'game' tak tersengaja keluar perkataan cabul yang kurang enak didengar dan tidak sesuai untuk anak-anak. Perkataan itu suda pasti akan tersemat di kepala meraka.


2. BAHASA MENYINDIR atau 'SCARSAM'

Contoh ayat,
"Asyik-asyik minta duit je, kamu ingat Mak ayah ni kerja cop duit?"
"Haa kan dah jatuh. Mata tu letak dekat mana? Dekat lutut?"

Bahasa sebegini sangat merobek emosi. Padahal hakikatnya, anak-anak masih tak faham bahasa sindiran. Sebaiknya ibu berterus terang dan gunakan ayat 'direct' namun tidak mengguris hati mereka. 

Seperti, "Mak ayah belum gaji lagi, abang/kakak/adik sabar ye"
"Adik kuat, tak sakit. Lepas ni jalan hati-hati ya supaya tak jatuh lagi"


3.  BAHASA BERDUSTA ATAU MENIPU

Contoh ayat,
"Jangan nangis ya, nanti mama belikan aiskrim" (tapi akhirnya tak beli pun, cuma untuk memujuk supaya diam)
"Jangan nakal-nakal, nanti polis datang tangkap"
"Jangan main dekat situ, nanti ada hantu"

Ayat-ayat di atas ni biasanya ibu bapa ucapkan untuk diamkan atau takutkan anak pada masa itu. Namun sebenarnya, kesan jangka panjangnya sudah masuk dalam kepala hati anak justeru membentuk emosi negatif kepada mereka.

Sebaiknya, ibu bapa tak perlu berbohong kepada anak. Sebab ia akan menghilangkan kepercayaan anak pada ibu bapa dan akhirnya meniru perbuatan tersebut.


4. BAHASA MENEMPELAK

Contohnya,
"Padan Muka!"
"Baru Tahu!"
"Tu lah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah luka! Lain kali buatlah kali. Biar berdarah semua, masuk hospital!"

Sebenarnya anak-anak tak dapat belajar apa-apa pun daripada ayat yang memancing emosi sebegini. Sepatutnya ibu bapa beritahu saja apa kesilapan dan kesalahan mereka dan nasihat supaya tak mengulanginya lagi.

Tapi biasa anak akan buat lagi kan. Biarkan mereka menikmati masa kecil mereka, asalkan kita tetap ingatkan dan beritahu apa kesannya pada mereka. "Slow Talk", maybe. 😌


5. BAHASA MEMBANDINGKAN

Contoh ayat,
"Cuba kamu tengok abang, rajin tolong ibu di rumah. Tak macam kamu ni, asyik nak main je."
"Kenapalah kamu ni tak pandai macam adik. Asyik dapat nombor tercorot je."
"Tengok si Fulanah tu, Elok je dapat Top Ten dalam kelas. Yang kamu ni..."

Perbuatan ini dipanggil 'Favoritism' atau pilih kasih kerana melebihkan anak-anak tertentu sehingga menyebabkan anak-anak yang lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan akan rasa tertekan.

Bukan itu sahaja, Hubungan antara anak-anak juga akan retak, timbulnya sifat cemburu satu sama lain. Sibling Rivalry ni akan berterusan meskipun mereka dah dewasa dan beranak pinak.

Apalagi jika dibandingkan dengan anak jiran, sepupu yang lain. 🤦


6. BAHASA MENGKRITIK ATAU MEMBEBEL

Yang ni mungkin mak mak biasa buat, tapi ianya memang tak bagus untuk emosi anak-anak sebab tiada siapapun yang suka dileteri. Apatah lagi kita.

Kalau pun nak berikan arahan dan menegur, gunakan ayat yang ringkas janji mereka faham. Fokuskan pada kebaikan yang mereka buat. Hakikatnya, anak yang sentiasa dikritik takkan maju ke depan, malah keyakinan diri mereka akan hilang.


7. BAHASA MENGUNGKIT

Contohnya,
"Kenapa result kakak teruk macam ni? Buat penat ibu ayah hantar pergi kelas tuisyen, belikan buku dan macam-macam lagi. Tapi tak pandai juga."

Untuk bab ini, ibu bapa kena ikhlaskan hati dan banyak bersabar dalam mendidik anak-anak. Sebab penerimaan anak kita dan anak orang lain tak sama. Sebab tu ibu bapa kena usahakan jaga Bahasa yang baik atau "manis madu" didepan anak-anak.


8. BAHASA MENGUGUT

Contohnya,
"Kalau lepas main tak nak kemas, ibu/ayah buang semua maninan ni" (its so me 😭)
"Kalau tak nak dengar cakap, ibu/ayah pukul"
"Kalau tak berhenti nangis, ibu/ayah tinggal"

Jangan sesekali ugut atau menakut-nakutkan anak. Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tapi bukan dengan mengugut. Sebab itulah, ibu bapa perlu tetapkan peraturan untuk terapkan disiplin kepada anak-anak sejak dini.

In shaa Allah, akan diusahakan. 💪😌


9. BAHASA MENUDUH

Contohnya,
"Macam mana barang boleh hilang? Mesti kamu cuai masa main sampai tercicir"
"Kenapa adik menangis ni? Mesti abang/kakak yang buat kan?!"

Sebaiknya ibu ayah siasat terlebih dahulu untuk tahu keadaan sebenar dan berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis. 

Sebab itu akan memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus terang dan mengaku bersalah dengan jujur (jika mereka bersalah).


10. BAHASA BISU (SILENT TREATMENT)

Dengan mendiamkan diri tidak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan anak-anak. Bahkana akan membuatkan mereka rasa tidak disayangi serta menjauhkan diri.

Parenting sememangnya sangat mencabar dan memerlukan kekuatan mental dan emosi yang tinggi. Ia juga satu perjuangan yang panjang dan melelahkan.

Tapi tiada yang lebih manis apabila anak yang kita didik dan asuh sejak lahir, membesar dan menjadi manusia yang baik dan bermanfaat kepada ibu bapa, keluarga dan orang lain, serta menjadi pemimpin yang teladan kepada lingkungan masyarakat.


Oleh itu, marilah kita bersama-sama sebagai ibu bapa yang merupakan contoh paling utama dan dekat dengan anak-anak cuba perbaiki dahulu mana salah dan silap kita dalam mendidik mereka. 

Bak kata pepatah, "Bagaimana Acuan begitulah Kuihnya".

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat untuk kita semua.


Lots of Love,
Mama Anak Empat ❤️

No comments:

Post a Comment

Featured Post

360 THERAPANTS | THERAVEST 2023

Popular Posts